Hari ini, 28 Mei 2007,bermula jam 3.00 pagi, ibu mula rasa sakit pinggang. Kerap ke bilik air untuk membuang air kecil. Pada jam 5.00 pagi, ibu solat hajat mohon Allah selamatkan kandungan ini dan cukupkan bulannya kerana di waktu ini kandungan ini baru berusia 36++ minggu...masih ada 4 minggu lagi untuk melengkapkan ke usia 40 minggu. Ibu rasa belum cukup bersedia untuk menghadapi saat bersalin buat kali kedua ini. Ibu terus kerap ke bilik air sehingga jam 7.00 pagi. Ayah tanya adakah ini tanda nak bersallin? Ibu pun tidak dapat memberikan kata putus samada ianya sakit nak bersalin atau sakit ??? Ibu hanya menjawab "Tak perlah abang pergilah ke tempat kerja dulu. Nanti kalau dah confirm /dah keluar tanda barulah tahu nak bersalin". Ayah jawab "Oklah". Sejak Ayah pergi ke tempat kerja, setiap 5 minit ibu ke bilik air. Sehingga ke satu saat, ibu rasa tak berdaya sangat untuk melangkah. Ibu perlu menggunakan kayu penyapu sebagai tongkat untuk melangkah ke bilik air. Ibu hanya mampu berbaring dan menahan kesakitan.
Jam 10.30 pagi, ibu cuba mendapatkan khidmat nasihat dari kakak ibu iaitu kak Nah seorang doktor untuk menentusahkan keadaan yang ibu alami. Daripada penjelasan yang diberikan beliau mengganggap bahawa sakit tersebut disebabkan ibu ada penyakit kencing kotor. Kemungkinan disebabkan radang di bahagian bawah tersebut menyebabkan ibu kerap ke bilik air. Beliau menasihatkan supaya ibu makan ubat sehingga habis dan terus membuat check dengan doktor di Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bangi. Ibu akur dengan kata-katanya. Lalu terus memakan ubat kencing kotor tersebut walaupun teramat pahit untuk ditelan ubat tersebut.
Jam 12.00 tengahari, tiba-tiba tanda 'darah' keluar. Ibu rasa gembira sangat. Memang benarlah bahawa apa yang ibu rasa sebelum ini adalah tanda untuk bersalin. Syukur alhamdulilah Allah telah memberikan ibu petunjuk. Sebenarnya ibu rasa khuatir sekiranya tiada sebarang tanda keluar jadi sukar bagi ibu untuk menentusahkan benar-benar ibu akan bersalin atau tidak. Lalu ibu terus menelefon ayah untuk menyatakan perihal tersebut. Ayah menyatakan bahawa beliau akan terus balik sebentar saja lagi.
Ibu terus menyiapkan persiapan bersalin untuk dibawa ke Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah. Ibu mandi lalu berdoa semoga Allah mudahkan ibu melahirkan kandungan ini insyaallah...amin. Jam 1.00 tengahari, ayah sampai ke rumah. Ibu mengesyorkan supaya kita solat zohor dahulu sebelum bertolak bagi memudahkan perjalanan kita nanti. Selesai solaat zohor, kami pun bertolak. Kami singgah sebentar ke Medan Selera Serdang untuk menikmati makan tengahari. Sakit ibu telah mulai terasa, sekejap kuat sekejap hilang. Sambil makan, ibu terpaksa menahan kesakitan. Selera ibu pun tidak begitu ada kerana memikirkan untuk menghadapi saat bersalin ini.
Sampai ke Bangi, kami singgah ke kedai untuk mencari kurma. Dalam kesakitan ini, ibu gagahi juga untuk mencari kurma. Alhamdulilah setelah cari 2 3 tempat akhirnya kami berjumpa juga.
Jam 3.40 petang, kami sampai di Pusat Rawatan Az-Zahrah, Bangi. Ibu terus ke Aras 2, untuk menyatakan bahawa ibu ingin bersalin di situ. Ibu hanya sempat membuat first check up dengan Doktor Speacilist di situ dan tidak sempat untuk membuat second check up. Setelah segala maklumat diberikan, ibu ditempatkan di Bilik Aisyah, Aras 2, Pusat Rawatan Az-Zahrah. Jam 4.00 petang, Doktor Fazlina check berapa bukaan rahim ibu. Beliau menyatakan bahawa telah buka 4cm. Doktor Fazlina menyatakan bahawa ibu perlu ke Labour Room untuk dipecahkan air ketuban. Ibu menyatakan supaya biarlah selepas solat asar baru ibu ke Labour Room. Kemudian nurse mengambil denyutan jantung baby selama 20 minit. Setelah itu diberikan ubat cirit bagi melawaskan najis. Jam 4.40 petang, ibu dan ayah solat berjemaah untuk menunaikan solat asar di dalam Bilik Aisyah. Selesai solat, ayah membaca Yaasin bagi memudahkan ibu bersalin kelak.
Jam 5.00 petang, ibu dibawa masuk ke Labour Room, Aras 1. Denyutan jantung diambil sekali lagi selama 10 minit. Setelah itu, Doktor Fazlina mengecheck sekali lagi bukaan rahim ibu...dah 6 cm. Jam 5.20 petang, Doktor Fazlina memecahkan air ketuban. Uhhh....rasanya boleh tahan sakit

. Sejak air ketuban dipecahkan, sakit ibu semakin kerap dan semakin kuat. Ibu hanya mampu duduk di atas katil sambil memegang tangan ayah untuk menahan kesakitan. Ibu memohon agar ayah membaca Yassin dan dibacakan di dalam air supaya ibu boleh minum air tersebut. Ibu tak mampu untuk berbaring...kerana kesakitan itu akan lebih terasa. Sambil itu ibu memakan kurma dan meminum air Yasin. Ibu rasa begitu terkejut....tak sangka di saat ini ibu akan menghadapi saat bersalin seawal ini....4 minggu dari sepatutnya. Ibu seperti bermimpi untuk menghadapi semua ini.
Jam 6.40 petang, ibu terasa seperti nak buang air besar. Ibu pun tak tahu adakah ini saat dah nak bersalin? Ibu kata dengan ayah "rasa nak terberak". Ayah cepat-cepat bergegas memanggil nurse di luar bilik. Nurse pun cepat masuk dan membuat persiapan untuk bersalin. Keadaan menjadi kelam kabut. Mana Doktor Fazlina nie? Perasaan ibu bercampur baur. Ibu dah rasa seperti nak meneran...tapi Doktor tak sampai lagi. Nurse meminta supaya ibu jangan teran lagi. "Tahan...tahan". Kata nurse. Ibu rasa dah tak sabar dan dah tak tertahan untuk meneran. Akhirnya Doktor Fazlina muncul. Keadaan dah sedia. Buat kali pertama ibu cuma teran, tetapi hanya berjaya sampai kepala sahaja. Cubaan kali kedua....Allahuakhbar......Ibu menjerit sekuat hati. Alhamdulilah tepat jam 6.55 petang.....baby berjaya dilahirkan

. Cepat-cepat Doktor menunjukkan baby 'boy' kepada ibu. Ibu rasa seperti terkejut.....dan bersyukur banyak2....alhamdulilah baby selamat.
Baby dimandikan dan kemudian ayah mengazankan di telinga kanan. Baby disuapkan dengan sedikit tamar di bahagian lelangit agar suara beliau nyaring bila mengkumandangkan Quran kelak...amin. Sementara ibu, Doktor Fazlina meneruskan kerja-kerja beliau selepas proses bersalin. Mengeluarkan uri, lebihan darah Beliau telah menjahit bahagian yang koyak...Uhhh sakitnya

. Sabar jelah. Apa-apa pun kena tahan juga...nak buat macamana. Setelah selesai semua proses, ibu berehat di Labour Room.
Jam 8.00 malam, ibu dibawa semula ke Bilik Aisyah, Aras 2 untuk berehat seterusnya. Jam 9.00 malam, buat pertama kalinya ibu menyusukan baby. Waduh....sukarnya. Keadaan ibu memang terlalu lemah di saat ini. Hendak bergerak pun sukar, nak turun katil pun tak berdaya. Perlukan bantuan ayah untuk membolehkan ibu turun dari katil. Malam itu, ibu tidak melelapkan mata, bila mengenanng saat menghadapi bersalin....di Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah...penuh dengan tragedi. Biarlah ianya menjadi rahsia bagi ibu

.